Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." 
 Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.
    Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.
 Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.
 Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.
 Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. 
 Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita,  walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu  merubah segalanya.
 Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.
 Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. 
 Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.
 Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24  yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik  lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu  masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."
 Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya.  Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi,  begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.
 Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan  yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat  hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan  Allah SWT.
 Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan  menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,
 "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran  mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang  teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan  jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah  terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
 Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias  diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada  kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.
 Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa  yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki,  termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya  hatta namanya sekalipun.
 Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat
 Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur.
 Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.
 Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah  muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah,  ia tetap menjadi aurat.
 Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang  memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan  purdah pada wajahnya.
 Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi  cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi  atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum  seperti friendster, facebook dan lain-lain.
 Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat.
 Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.
 "Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga  bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)
 Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.
 Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS. 
 Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka  dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.
 Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka.
 Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang  daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu  untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.
 Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah  wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.
 Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.
 Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).
 Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.
 Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana  dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga  dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.
 Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
 Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di  belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada  keadaan tersebut.
 Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?
 Maka, labuhkanlah tudungmu.
 Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada  Rasulullah SAW,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu  tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang  telah menegurnya, "Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak  tahu tentang perintah memakainya?"
 Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang  mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun  aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT." 
 Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam;  bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk  mengamalkannya.
 Saudariku,
 Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan.
 Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya.
 Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan.
 Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.
 Saudariku,
 Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang  raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk  kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis  yang miskin dan tidak punya apa-apa.
 Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan  hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi  bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.
 Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang  sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.
 Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah  SWT di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan  hilang segalanya.
 Saudariku,
 Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,
 "Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"
 Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.
 Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.
 Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga....